GARA-gara tidak menghormati bendera kebangsaaan, sekumpulan penonton warga asing yang menyaksikan perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) di Sepang, semalam ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dengan memakai seluar dalam dengan corak Jalur Gemilang.
Ketua Polis Sepang, ACP Abdul Aziz Ali mengesahkan sekumpulan warga asing ditahan semalam kerana berkelakuan tidak senonoh.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bilangan warga asing yang ditahan dan dua kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan gangguan keamanan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA INI: Netizen Gesa Polis Siasat Penonton Aib Jalur Gemilang
Semalam, gelagat sekumpulan warga asing yang dipercayai dari Australia ini dikongsikan melalui Facebook Friend of PDRM dengan memaparkan dua keping gambar ketika acara berkenaan berlangsung semalam.
Dalam gambar berkenaan memaparkan sekumpulan warga asing berkulit putih separuh bogel dengan hanya memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang dilihat bersorak dipercayai selepas perlumbaan tamat.
Sekeping lagi gambar memaparkan sekumpulan warga asing yang sama itu ditahan polis selepas berkelakuan tidak senonoh.
Tindakan pantas polis ini mendapat pujian netizen dan mahukan tindakan dikenakan terhadap penonton luar yang dianggap biadap serta tidak menghormati bendera negara.
“Biar pun di negara-negara lain budaya seperti itu memang kebiasaan namun kita wajib mempertahankan budaya dan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan penuh dengan nilai-nilai murni,” komen Friend of PDRM dalam Facebook hari ini. -MYNEWSHUB.CC