JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan selepas polis menemukan selaras senapang angin buatan sendiri di sebuah rumah di Taman Wawasan, Mersing, kira-kira 128km dari sini, tengah malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Cyril Edward Nuing berkata polis turut merampas 70 bebola besi yang dipercayai digunakan sebagai peluru dan sebilah kerambit di rumah berkenaan.
Katanya, rampasan itu dibuat selepas anggota Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menyerbu rumah berkenaan pada pukul 12.15 tengah malam untuk memeriksa seorang suspek yang disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
“Senapang angin itu dijumpai di bilik rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – BERNAMA