Sunday, 2 October 2016

Khairy Yakin Skuad Olahraga Mampu Raih 3 Emas, Acara Trek



KUALA LUMPUR – Skuad olahraga negara dilihat mampu meraih tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4×100 lari berganti-ganti lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.


Keyakinan itu disuarakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, susulan prestasi membanggakan oleh barisan pelari muda negara seperti Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Jonathan Nyepa.


“Ini merupakan petanda yang baik bagi Sukan SEA…kita ada kumpulan pelari pecut yang dapat beri saingan sihat antara satu sama lain untuk meningkatkan prestasi mereka secara keseluruhan,”katanya.





Katanya beliau difahamkan Jonathan dari Sarawak telah dipelawa untuk mengikuti latihan bersama dengan pelari lain di Sekolah Sukan Tunku Mashkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan ketiga-tiga atlet itu bersaing dalam acara 200m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Malaya di sini, hari ini.


Khairul Hafiz, yang mewakili Melaka, meraih emas dalam acara itu dengan catatan 21.10 saat, diikuti atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM), G. Aravin Thevar (21.14s) dan Jonathan (21.18s), masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.


Khairy berkata pihaknya masih dalam proses perancangan dan perbincangan untuk menghantar bakat-bakat muda tersebut ke luar negara untuk mendapat latihan dan pendedahan.


“Saya lihat kebangkitan generasi pelari pecut ini sangat cemerlang dan kita perlu jaga mereka dengan baik. Amerika Syarikat (latihan dan pendedahan) menjadi pilihan utama kita buat masa ini,” katanya. – BERNAMA