Showing posts with label MCA. Show all posts
Showing posts with label MCA. Show all posts

Sunday, 2 October 2016

MCA Tidak Akan Rebut Kerusi Tambahan Bagi PRU-14



BUTTERWORTH – MCA Pulau Pinang tidak berhasrat untuk merebut mana-mana kerusi tambahan daripada parti komponen lain Barisan Nasional (BN) dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.


Pengerusi MCA negeri Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata impian sesebuah parti politik adalah supaya parti dapat berkembang dengan pertambahan kerusi tetapi bukan dengan cara merebut daripada rakan parti komponen BN.


“Kami mengalu-alukan pertambahan kerusi sekiranya diberi mengikut semangat Barisan Nasional dan kami tidak bercadang untuk berebut dengan parti komponen lain sehingga wujudnya pertelingkahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan MCA Bahagian Bagan di sini hari ini.





Katanya jentera pilihan raya telah mula digerakkan di seluruh negeri sejak bulan Jun lepas dan sasaran parti di Pulau Pinang adalah untuk memenangi kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini.


Ong yang juga Setiausaha Agung MCA pusat berkata pihaknya sudah mengenal pasti 10 calon yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat individu bagi kerusi Parlimen.


“Setakat ini MCA Pulau Pinang sudah bersedia untuk meletakkan calon bagi semua kerusi yang dipertandingkan pada PRU lepas dan yakin mampu menarik sokongan pengundi kaum Cina,” katanya.


Terdahulu, beliau mengumumkan enam calon yang bakal mewakili parti untuk bertanding bagi kerusi parlimen bahagian Bagan dan dua kerusi DUN iaitu Sungai Puyu serta Bagan Jermal.


Katanya daripada enam nama yang akan diserahkan kepada MCA pusat, hanya tiga calon sahaja akan dipertaruhkan untuk mewakili MCA di bahagian Bagan.


“Enam nama iaitu Timbalan Pengerusi MCA Bagan Lim Hai Song, Setiausaha organisasi MCA Bagan Leon Tan, Timbalan Ketua Pemuda MCA Bagan Ang Chor Keong, Bendahari MCA Bagan Sum Yoo Keong, Setiausaha MCA negeri Dr Tan Chuan Hong dan Anggota Perwakilan MCA Bagan Khaw Tee Yong akan diserahkan untuk persetujuan parti pusat,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata senarai pendek calon yang akan bertanding pada PRU-14 itu berkemungkinan mengalami perubahan, jika persempadanan semula kawasan pilihan raya dijalankan. – BERNAMA






Saturday, 1 October 2016

Yakin Ramai Calon Pemuda Dipilih Bertanding PRU14



KANGAR – Pemuda MCA yakin lebih banyak calon daripada pergerakan itu akan diberi peluang oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.


Ketuanya Senator Chong Sin Woon berkata pihaknya telah mencadangkan nama calon yang layak kepada pucuk pimpinan parti yang kini dalam peringkat saringan akhir barisan calon yang berpotensi.


“Saya yakin kali ini lebih ramai calon pergerakan Pemuda MCA akan mendapat peluang menjadi calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pemuda MCA Perlis di sini, malam tadi. Turut hadir Naib Pengerusi MCA Perlis Khaw Hock Kong.


Namun, katanya keputusan muktamad barisan calon parti hanya akan dibuat selepas pucuk pimpinan parti mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap pengerusi Barisan Nasional.





Beliau berkata MCA membuat persiapan awal untuk menghadapi PRU14 termasuk meneliti kesesuaian calon yang dicadangkan untuk bertanding.


Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata MCA akan berusaha merampas kembali kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan yang jatuh kepada PKR pada PRU13.


“MCA di bawah kepimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai sedang menggandakan usaha menyatupadukan ahli di bawah kempen ‘Stronger Together’.


“Kini tiada lagi puak A atau puak B. Gerak kerja kita lebih menyeluruh sehingga akar umbi,” katanya. – BERNAMA