KUALA KRAI – Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Kampung Pemberian di sini, Jumaat lepas, ditemui di sungai tersebut hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Penolong Pegawai Bomba Hanif Che Khalid berkata pihaknya menjumpai mayat mangsa, Mohd Hakiki Deris, 38, kira-kira 2 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh di sungai itu.
“Mayat mangsa dijumpai tersangkut pada tunggul kayu di sungai berkenaan pukul 3.45 petang tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.
Hanif berkata mangsa dilaporkan terjatuh ke sungai tersebut pada pukul 2.30 pagi Jumaat lepas oleh keluarga mangsa.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata seramai 10 anggota bomba bersama polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung, terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tersebut. – BERNAMA