Monday 3 October 2016

Johor Belum Disahkan Sesuai Untuk Tanaman Kurma



MUAR – Jabatan Pertanian Johor menasihatkan orang ramai agar tidak taksub menyertai skim penanaman buah kurma, yang kononnya mampu membawa pulangan besar.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ismail Mohamed berkata hasil perkongsian beliau dengan pengusaha kurma ketika melawat ladang tanaman itu di Thailand baru-baru ini mendapati pokok kurma belum tentu sesuai ditanam di Malaysia.


Ini kerana, katanya, Malaysia tidak terdedah kepada cuaca panas yang berpanjangan sedangkan tanaman itu memerlukan suhu panas berterusan selama empat bulan bagi membolehkan pokok kurma menghasilkan buah yang banyak.


“Namun, kita akan mencari kaedah yang terbaik untuk mengatasi kekurangan ini seperti menggunakan bantuan pencahayaan jika ia dapat dilaksanakan.


“Tetapi, buat masa ini, orang ramai perlu menunggu hasil kajian yang dijalankan Jabatan Pertanian bagi melihat kesesuaian tanamannya di negeri ini,” kata beliau.


Ismail berkata demikian sebagai mengulas laporan terdapat pengusaha tanaman kurma lain sudah mula menawarkan skim penanaman buah itu di Johor dengan setiap batang pokok kurma ditawarkan harga antara RM2,000 hingga RM3,000.


Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan peperiksaan untuk sekolah-sekolah di daerah Pagoh dan bantuan kepada ketua-ketua kampung bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2016 di Dewan Kompleks Perkembar Pagoh.


Dalam perkembangan lain, Ismail yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh menggesa mana-mana anggota yang tidak setia kepada parti agar segera meletak jawatan bagi memberi peluang kepada mereka yang lebih layak berkhidmat untuk masyarakat.


Beliau berkata saranan itu bersesuaian dengan matlamat parti yang tidak mahu melihat anggota-anggota seperti itu membuat kacau dalam parti.


“Kepada mereka yang masih lagi jadi ‘musang berbulu ayam’, lepaskanlah jawatan. Beri ruang kepada mereka yang setia pada parti untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya ketika ditanya mengenai rancangan pemutihan yang diumumkan beliau pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pagoh baru-baru ini. – BERNAMA