Monday, 3 October 2016

Amuk: Polis Tahan Suspek Bunuh Adik Dan Saudara



BALING – Polis menahan seorang lelaki kerana bertindak memukul adik lelakinya yang lumpuh dan saudara perempuannya sehingga mati dalam kejadian amuk di Kampung Lanai, Kupang, dekat sini semalam.


Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shariffudin Yusof berkata suspek berusia 32 tahun dan dipercayai pesakit mental, mengambil alat pemarut kelapa dan sebatang kayu untuk memukul adiknya, Mohd Azwan Wahab, 25, hingga mati.


Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, saudaranya, Rokiah Abdullah, 54, dan ibu suspek, Che Piah Shafie, 66, cuba menghalang suspek daripada terus memukul adiknya di ruang tamu rumah itu tetapi tidak berjaya.





“Saudaranya, yang juga jiran suspek, bergegas keluar untuk minta tolong tetapi telah dibaling seketul bata oleh suspek sehingga terjatuh di luar rumah.


“Suspek ambil bata tersebut dan pukul mangsa yang telah jatuh di bawah pokok pisang,” katanya dalam kenyataan di sini.


Menurutnya, sebelum kejadian, suspek mahu keluar untuk membeli rokok namun ibu dan saudaranya mengekorinya kerana suspek meunjukkan tanda-tanda yang tidak menyenangkan.


Katanya sebelum sampai ke kedai, ibu dan saudaranya menarik suspek pulang ke rumah dan sebelum masuk ke rumah, suspek mengambil sebatang kayu dan alat pemarut kelapa untuk memukul adiknya.


Suspek kemudian ditangkap dan diikat oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi kejadian.


Shariffudin berkata suspek pernah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Baling sebanyak dua kali dan sekali di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, selain telah menjalani rawatan hospital selama lebih kurang empat tahun.


“Suspek mengaku memukul kedua-dua si mati disebabkan ada mendengar biskian untuk membunuh (gangguan mental),” katanya.


Kedua-dua mangsa meninggal dunia tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.


Sementara itu, Che Piah berkata sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara adik-beradik itu.


“Ia cuma pergaduhan mulut biasa saja. Abangnya kata adiknya yang juga anak bongsu saya hanya menyusahkan saya kerana dia lumpuh dan tidak mampu bergerak akibat kemalangan sejak empat bulan lepas,” katanya.


Dalam pada itu, kakak mangsa Zurina Wahab, 39, berkata beliau terdengar kedua-dua adiknya bergaduh semasa mendodoi anaknya berusia lima bulan di ruang tamu rumah berkenaan.


Katanya beliau kemudian membawa anaknya keluar dari rumah tersebut untuk meminta bantuan jiran. – BERNAMA