Monday, 3 October 2016

Wanita Lahir Anak Dalam Restoran Segera







Sungai Petani, 3 Okt: Seorang wanita yang berkunjung ke restoran makanan segera Marrybrown di pusat beli belah Amanjaya di sini tidak menyangka destinasi itu menjadi tempat dia melahirkan anaknya dalam kejadian malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Nurul Haslina Abdul Halim, 27, bersuaminya, Mohd Lutfi Hussin, 32, dan anak lelaki mereka Mohd Aqhar, 1, sedang makan di restoran itu sebelum dia merasa sakit ketika ingin membasuh tangan.

Haslina berkata, ketika itu dia baru sahaja selesai makan dan mahu membasuh tangan namun ketika ingin bangun, perutnya tiba-tiba sakit dan air ketuban pecah lalu terus memaklumkan kepada suami.

"Saya kemudian duduk semula dan baring di atas kerusi panjang yang ada. Ketika itu saya merasa bayi sudah hampir keluar sebelum beberapa kakitangan restoran segera membantu saya. Beberapa minit kemudian saya merasa bayi sudah mula keluar.

"Pada masa sama seorang jururawat yang kebetulan melalui restoran itu turut membantu menenangkan saya kerana waktu itu bayi sudah keluar separuh sebelum kakitangan dan jururawat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) tiba beberapa minit kemudian," kata yang turut menambah dia berjaya melahirkan bayi perempuan seberat 2.5 kg.

Sementara itu, Pengurus Marrybrown, Sharizal Daud berkata, ketika kejadian itu, restoran terbabit sudah hampir tutup dan semua kakitangan sedang berkemas namun keluarga terbabit masih sedang makan.

"Bagaimanapun tiba-tiba seorang kakitangan saya datang memberitahu suami seorang pelanggan meminta menelefon ambulans kerana isterinya sakit ingin bersalin.

"Syukur wanita terbabit selamat melahirkan seorang bayi perempuan di dalam restoran itu dan ini kejadian kali pertama berlaku," katanya.