Monday, 3 October 2016

Status Buaya Sebagai Haiwan Dilindungi Dilucut







KUCHING, 3 Okt: Status buaya sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya dilucut apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan hari ini membenarkan buaya di Sarawak diburu untuk tujuan komersial.

Keputusan CITES itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad, yang menghadiri konvensyen itu di Afrika Selatan, kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam.

Menurut Junaidi, susulan keputusan tersebut, buaya tidak lagi disenarai sebagai haiwan liar yang dilindungi sebagaimana yang termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.

"Keputusan itu hanya membabitkan isu pemburuan buaya di Sarawak kerana kajian mengenai kesan konflik antara buaya dengan manusia hanya dilaksanakan di negeri ini manakala di Semenanjung dan Sabah, belum ada sebarang kajian dibuat mengenainya.

"Kita akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan di Sarawak terutamanya Jabatan Hutan Sarawak yang bertanggungjawab terhadap perlindungan hidupan liar dan menetapkan tempoh enam bulan untuk memastikan peraturan baharu yang membenarkan pemburuan buaya dilaksanakan," katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

Menurut Junaidi lagi, antara perkara lain yang akan dibincangkan dengan kerajaan negeri Sarawak adalah pemberian lesen kepada penduduk kampung untuk memburu buaya kerana ia akan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

"Kita tidak mahu lesen pemburuan itu diberikan kepada syarikat besar sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan yang kerap berlaku konflik antara buaya dengan manusia," katanya.

Beliau juga berkata, berdasarkan perangkaan yang dibuat pada tahun lalu, 13,500 ekor buaya dikenalpasti mendiami lebih 40 sungai utama di Sarawak dan jumlah itu agak membimbangkan susulan konflik antara reptilia itu dengan manusia kerap tercetus.

Sumber : BH Online