Sunday, 2 October 2016

18 Pendaki Terkandas Di Gunung Jerai Selamat Dibawa Turun



GURUN – Seramai 18 pendaki yang terkandas di Gunung Jerai dekat sini semalam selamat dibawa turun awal pagi tadi dengan seorang rakan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.


Komander Operasi Mencari dan Menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Ridzuan Nut Jamudin berkata kesemua mereka dibawa turun kira-kira pukul 3.10 pagi.


“Pendaki yang cedera Nor Farah Amira Mohamed Haris, 21, yang terseliuh kaki dibawa turun dengan alat pengusung. Kesemua mereka dibawa ke Pos Kawalan Bencana Merbok,” katanya ketika dihubungi.





Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dilakukan pada pukul 9.11 malam tadi dan para pendaki mula dibawa turun pada pukul 12.16 malam.


Mereka merupakan antara 38 orang anggota kelab belia yang melakukan aktiviti merentas hutan di Gunung Jerai bermula awal pagi semalam.


Kumpulan pertama seramai 20 pendaki dilapor selamat sampai di kaki gunung setelah turun pada sebelah petang, sementara kumpulan kedua yang terdiri daripada enam wanita dan 12 lelaki terkandas di atas gunung setelah seorang anggotanya tercedera pada kaki.


Ridzuan Nut berkata kumpulan kedua itu terkandas pada ketinggian 600 meter dari aras laut. – BERNAMA