KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyindir sebuah parti yang kecoh ‘canang’ ke seluruh dunia apabila baharu berjaya mendaftar seramai 30 ahli.
Sebaliknya UMNO ujar beliau yang juga Perdana Menteri, pada bulan lalu sahaja sudah menerima lebih 6,000 ahli baharu namun tidak pula ‘bising’ bagi menunjukkan kehebatan parti utama Barisan Nasional (BN) tersebut.
Ia sekali gus membuktikan generasi muda masih lagi memberi sambutan baik kepada UMNO yang sudah matang berusia genap 70 tahun apabila ribuan tampil mendaftar sebagai ahli baharu setakat dalam tempoh hanya sebulan.
Jumlah terkini itu dilaporkan pada setiap bulan dan telah dikemukakan kepada pihak pengurusan UMNO. Parti tersebut dianggarkan mempunyai 3.5 juta ahli berdaftar dengan hampir 21,000 cawangan di seluruh negara.
“Bulan Ogos sahaja jumlah pendaftarannya kira-kira 6,000 ahli baharu UMNO iaitu meliputi 374 ahli biasa, 731 bagi ahli Pergerakan Wanita, Pemuda pula dapat 2,716 ahli dan 2,179 ahli lagi sertai sayap Puteri.
“Saya sebut perkara ini kerana ada parti itu baru dapat 30 ahli dikeluarkan berita muka depan sebuah akhbar. Sebagai perbandingan itulah hakikat UMNO masih dapat sambutan ramai dengan menyertai parti kita,” kata Najib.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada Jumaat.
MT UMNO juga ujar Najib, telah mengambil maklum bahawa pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti tempatan, pro-Aspirasi telah mendominasi pemilihan kesemua 12 universiti yang dimenangi kelompok tersebut.
“Ini memberi gambaran positif, dasar kerajaan tetap diterima oleh generasi muda asalkan diberikan peluang untuk menjelaskan kepada mereka dengan membuat ‘engagement’ bersama-sama generasi muda,” kata beliau lagi.
Sementara itu dalam perkembangan lain, MT UMNO pada hari ini jelas Najib, turut mengumumkan bahawa tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan diadakan bermula dari 29 November sehingga 3 Disember depan.
“Taklimat Presiden pada 29 November diikuti perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. MT putuskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan serentak semua sayap pada malam itu,” katanya.
Berikutan penetapan tarikh berkenaan, Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pula akan bermula pada 30 November dan Mesyuarat Khas MT UMNO akan diadakan pada sebelah malam.
Manakala pada 1 Disember 2016, Jamuan Makan Malam Presiden akan berlangsung di PWTC dan seterusnya Perhimpunan Agung UMNO dijangka berakhir pada 3 Disember kelak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA