KUANTAN – Seorang pelajar Maahad Bahasa Arab dan Al-Quran (MABIQ) di sini, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan, berhampiran perumahan Sungai Isap Damai di sini, semalam.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Indera Mahkota, Mohd Hilmi Kashfi berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 6.40 petang, memaklumkan Alif Lokman Hakim Azman, 13, tergelincir semasa melalui kawasan berhampiran tebing sungai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan semalam melibatkan 24 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, 16 anggota dari Pasukan Penyelamat Di Dalam Air dan empat dari Unit Selam Skuba.
“Operasi di sepanjang sungai itu turut dibantu pegawai dan anggota Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan orang kampung,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Hilmi berkata operasi bersambung semula hari ini melibatkan kawasan sepanjang 10 ke 30 meter dari lokasi kejadian dan dijangkakan mengambil masa yang agak lama ekoran keadaan arus sungai yang deras disebabkan keadaan air pasang. – BERNAMA