Monday 3 October 2016

Modul Dadong Perluas Tanaman Jagung Bijirin



KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperluaskan projek tanaman jagung bijirin di negara ini membabitkan kawasan luar jelapang seluas 170,000 hektar dengan mengguna pakai kaedah tanaman atau Modul Dadong.


Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Modul Dadong itu mengambil nama sempena kejayaan projek tanaman jagung bijirin pertama di Malaysia yang dilaksanakan di Kampung Dadong, Chukai di sini, yang berjaya mengeluarkan hasil tuaian, hari ini.


“Semasa kita melaksanakan projek perintis ini pada 26 Jun lalu, saya sendiri berasa amat risau sama ada ia boleh berjaya atau tidak lebih-lebih lagi sepanjang 100 hari tempoh penanamannya, pelbagai cabaran dihadapi termasuk serangan serangga perosak dan masalah air bertakung.


“Namun, hari ini setelah pelbagai usaha dilakukan, kita dapat menyaksikan hasil tuaian pertama projek tanaman jagung bijirin ini dan Modul Dadong akan diperluas ke kawasan jelapang di negeri lain pada masa akan datang,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan tuaian projek perintis tanaman jagung bijirin pertama di Kampung Dadong di sini, hari ini.


Projek tanaman itu dilaksanakan di kawasan seluas 14 hektar milik penduduk Kampung Dadong dengan disertai 51 petani dan ia adalah inisiatif kementerian dalam usaha mengelak kebergantungan negara terhadap import bijirin untuk makanan ternakan.


Untuk rekod, pada masa kini Malaysia mengimport hampir 100 peratus jagung bijirin iaitu lebih empat juta tan metrik dengan nilai RM3.1 bilion setahun untuk dijadikan bahan makanan ternakan seperti ayam, lembu dan kambing.


Ahmad Shabery berkata hasil tuaian pertama projek itu sangat memberangsangkan dengan setiap hektar dijangka mampu menghasilkan antara lima dan 10 tan metrik jagung bijirin.


Ia sekali gus memberi pendapatan berganda kepada petani yang selama ini hanya meraih antara tiga hingga empat tan metrik padi untuk setiap hektar tanah yang dimiliki, katanya.


Ahmad Shabery berkata pihaknya juga akan memperkemaskan lagi modul itu dengan memperbaiki teknik penyediaan tanah, penetapan jarak tanaman, kaedah pembajaan, sistem perparitan teratur dan kawalan awal untuk rumpai bagi memperoleh hasil tanaman yang lebih baik dan berkualiti. – BERNAMA