Monday, 3 October 2016

Masjid, Surau Platform Terbaik Penyatuan Ummah



JOHOR BAHRU – Masjid dan surau adalah platform terbaik untuk menyatupadukan ummah dan seterusnya mengukuhkan ukhwah Islamiah masyarakat sesebuah tempat, kata Tokoh Maal Hijrah 2016 peringkat Johor, Abu Bakar Watak.


Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk memantapkan peranan institusi itu dengan pengisian program yang lebih baik agar dapat meningkatkan ukhwah dalam kalangan masyarakat.


“Terdapat banyak masjid dan surau di negara kita dan kita seharusnya mengambil contoh dan teladan yang ditinggalkan Nabi Muhammad S.A.W dengan menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar melalui amalan solat berjemaah, ” katanya selepas sambutan Maal Hijrah di sini hari ini.





Abu Bakar, 67, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah kerana peranan aktifnya dalam menyebarkan dakwah di seluruh negeri melalui pelbagai media seperti radio, televisyen dan media cetak.


Anugerah bersama wang tunai RM10,000 serta sijil penghargaan dan hadiah iringan daripada kerajaan negeri itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.


“Anugerah ini akan menjadi galakan untuk terus menabur bakti dan berhijrah kepada yang lebih baik, khususnya dalam membantu menyebarkan dakwah kepada masyarakat Islam,” katanya.


Abu Bakar memulakan kerjaya di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada 1983 sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah pada tahun sama sehingga beliau bersara pada 2005.


Beliau kemudian dilantik menjadi penulis khutbah bagi negeri itu pada 2006 hingga 2010.


Abu Bakar kini bertugas sebagai Penolong Pendaftar Nikah di Bandar Baru Uda dan penceramah bebas di sekitar Johor Bahru.


Sementara itu, Anugerah Masjid Cemerlang Johor dimenangi Masjid Al-Jawaheer, Taman Mutiara Rini, Johor Bahru yang membawa pulang wang tunai RM10,000.


Anugerah Surau Cemerlang pula diberikan kepada Surau Al-Muttaqin, Kampung Parit Mastar, Pontian. -BERNAMA