Sunday, 2 October 2016

Lima Ekor Kambing 'Naik' MyVi




BATU GAJAH – Cubaan sekumpulan tujuh lelaki mencuri lima ekor kambing dengan menyumbat haiwan itu ke dalam sebuah kereta Perodua Myvi gagal selepas mereka diberkas polis di Batu 3, Jalan Tanjung Tualang di sini dalam kejadian kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, pemilik kandang kambing terbabit dimaklumkan rakannya terdapat individu menceroboh kandang berkenaan.

Pemilik kandang yang berusia 25 tahun itu dengan kadar segera pergi ke tempat kejadian bersama seorang rakn dan mendapati dua rakannya sedang bergelut dengan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam cubaan mencuri kambing.

Hasil pemeriksaan yang dibuat oleh mereka menemui lima ekor kambing di tempat duduk belakang kereta terbabit serta bertindak memaklumkan kepada pihak polis berhubung kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar, hasil siasatan terhadap suspek membawa kepada penangkapan enam lagi rakannya di sekitar kawasan berhampiran.

Menurutnya, antara jam 7 hingga 7.30 pagi, pihaknya menahan tiga lelaki di sekitar kandang kambing tersebut dan tiga orang di rumah mereka di Gopeng termasuk seorang pelajar tingkatan lima.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan lima terbabit dilepaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapannya direkodkan,” katanya.

Katanya, pihaknya menemui dua motosikal serta kereta Perodua Myvi dipercayai milik suspek di lokasi kejadian.

Kesemua enam suspek ditahan reman selama lima hari sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : Sinar Online