Monday 3 October 2016

2 Pengawal Keselamatan Wanita Maut Pulang Kerja



PUTRAJAYA – Dua pengawal keselamatan wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai syif malam, maut apabila motosikal yang dinaiki dipercayai merempuh belakang sebuah lori, pagi ini.


Dalam kejadian pukul 8.05 pagi di Kilometer 15 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) Kajang/Banting, dekat sini, dua rakan sekerja di Hospital Serdang, S Shanthi, 31, dan M Mahaletchumy, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda EX-5 yang ditunggang Shanthi dipercayai terlanggar belakang lori dan lori berkenaan dipercayai beredar sejurus kejadian.


Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Banting, Selangor dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.


“Pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati terdapat kesan cat dan kerosakan teruk di bahagian hadapan motosikal akibat pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Abdul Aziz berkata kejadian berlaku di jalan lurus dengan keadaan cuaca ketika itu adalah baik dan terang.


Beliau berkata kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat, katanya. – BERNAMA