Friday, 30 September 2016

Pemandu Ferrari Beri Amaran Awal



KUALA LUMPUR – Pemandu Scuderia Ferrari memberi petanda awal untuk menyerlah di Litar Antarabangsa Sepang selepas Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen mencatat masa ketiga dan keempat terpantas pada sesi latihan bebas kedua hari ini.


Vettel memperbaiki catatannya satu minit 35.605 saat dan Raikkonen pula 1:35.842s, masing-masing lebih baik daripada masa yang dirakam pada sesi latihan bebas pertama Grand Prix Formula Satu Malaysia iaitu 1:36.331s dan 1:36.315s.


“Biasanya saya lebih menyerlah dalam perlumbaan pada suhu tinggi di litar, kami cuba untuk lebih kompetitif,” kata Vettel kepada pemberita di sini hari
ini.





Sewaktu sesi latihan pertama, Ferrari menggunakan kesemua tiga tayar Pirelli bagi menilai kemampuan kereta mereka menangani permukaan baru di litar berkenaan.


Kedua-dua pemandunya memulakan sesi mereka dengan tayar jenis keras sebelum kekal di pits kira-kira 20 minit, berikutan kebakaran yang berlaku pada kereta Renault yang dipandu Kevin Magnussens.


“Sudah tentu kami perlu berdepan dengan segala cabaran yang ada dan sasaran kami adalah menjuarai perlumbaan di Sepang, jika ada peluang…kami akan lakukan yang terbaik dan mahu memungut mata sebanyak mungkin,” kata Vettel.


Berada di tempat teratas senarai catatan terpantas adalah dua pemandu Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton (1:34.944) dan Nico Rosberg (1:35.177s). – BERNAMA