Friday, 30 September 2016

Nasi Lemak Anak Dara – Laju MB Selangor Sampai



Oleh: Satu Hala


Semua kita tahu kan tugas seorang ahli politik sememangnya penuh dengan kesibukan yang luar biasa.


Lagi besar jawatan dalam politik, lagi besar tanggungjawab dan lagi sibuk seseorang individu itu.





Jadual kerja seperti mesyurat penting dan lawatan kerja yang ada disusun berminggu malah berbulan lebih awal.


Perubahan terhadap sesuatu perkara hanya dilakukan andai sesuatu itu benar-benar bersifat kecemasan atau terlalu penting.


Justeru, untuk seorang ahli politik mengubah masa kerjanya secara tergesa-gesa, bukanlah sesuatu yang mudah sebenarnya.


Namun, tahniah buat Menteri Besar Selangor (MB) , Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sanggup bangun seawal yang boleh dan pergi menemui pemilik Perniagaan Nasi Lemak Anak Dara di Seksyen 7, Shah Alam pagi tadi.


Gerainya dirobohkan baru sehari dua.


Prihatin sungguh MB penulis (Penulis orang Selangor juga).


“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai orang ramai yang berusaha mengubah nasib mereka dan mempertingkatkan pendapatan menerusi inisiatif keusahawanan.


“Saya menyerahkan Borang Permohonan Lesen Menjaja MBSA kepada beliau agar perniagaannya menepati prosedur dan peraturan keselamatan.


“Langkah ini selaras dengan dasar kerajaan mengecualikan bayaran fi lesen perniagaan penjaja kecil,” kata Azmin menerusi laman Facebook.


Pastinya Siti Hajjar Ahmad, 24, begitu bangga kerana apabila gerainya dirobohkan, MB sanggup bersusah payah datang memberikan kata-kata semangat.


Mungkin dalam semangat yang sama, penulis memberikan beberapa lagi senarai peniaga yang sama nasib dengan Siti Hajjar tetapi belum menerima kunjungan Azmin lagi.


Ini hanyalah sedikit.



Sebagai MB Azmin boleh dapat senarai penuh dari semua pihak berkuasa tempatan dan meluangkan masa menyerahkan borang dan memberikan kata-kata semangat.


Antaranya;


– Op Roboh oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 21 Ogos melibatkan dua gerai buah di Batu 20, jalan besar Rawang-Sungai Choh.


– Gerai yang didirikan oleh penduduk sekitar kawasan Kampung Sungai Tangkas, Bangi ini dirobohkan oleh MPKj


– Puluhan gerai milik peniaga di bahu jalan berdekatan Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang (tahun 2015).


– Roboh 30 rumah di Kampung Seri Aman, Ijok


Mereka ini dan ratusan yang lain juga memerlukan kasih sayang dan perhatian luar biasa MB. Harap mereka akan menerima lawatan mengejut juga.


Apa pun, tahniah Azmin. Anda memang ‘prihatin’. -MYNEWSHUB.CC