Saturday, 1 October 2016

Ugut Bunuh Isteri, Penyelia Kilang Besi Didenda RM1,200



KUALA LUMPUR – Gara-gara mengugut untuk membunuh isterinya, seorang penyelia kilang besi didenda RM1,200 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.


Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Ching Nam, 43, selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan bunuh terhadap isterinya, Sim Chui Eng, 37, di 6-10, Pangsapuri Seroja, Laman Rimbunan Kepong, di sini pada 7.30 pagi, 27 September lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.


Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana dia sebagai suami seharusnya memberi perlindungan terhadap isterinya.





Lim yang diwakili peguam Muhammad Afif Che Had memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang rendah atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara lima anak yang masih bersekolah. – BERNAMA