Saturday, 1 October 2016

Puncak Bukit Lojing Gondol



GUA MUSANG – Perjalanan di Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Cameron Highlands menuju ke tanah tinggi Lojing mendapati sukar untuk mengesan hutan hijau di sepanjang lebuhraya itu.


Sebaliknya, hutan di tanah tinggi Lojing dipenuhi traktor yang sedang sibuk menjalankan kegiatan pembersihan hutan.


Sebaik tiba di sana menggunakan jip, kami melihat beberapa traktor sedang bersusun di cerun bukit.


Kelibat traktor itu tidak ubah seperti sekumpulan semut yang sedang bergerak berlatarbelakangkan cerun bukit sudah digondol.





Beberapa kawasan bukit yang ditarah begitu luas dan hanya imej menerusi rakaman drone atau satelit boleh menggambarkan kerancakan aktiviti pembersihan hutan itu.


Malah di sepanjang lebuh raya, beberapa papan tanda, amaran hidupan liar dari hutan simpan kekal berhampiran termasuk Lojing dan Sg Brok, dan apa sahaja kegiatan pembangunan atau pembersihan hutan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pegawai tanah daerah Gua Musang turut dinyatakan.


Kebanyakan air sungai termasuk Sungai Belatop bertukar warna teh tarik.


Malah anak sungai berdekatan seperti Sungai Jedip dan Sungai Deng-kong turut tercemar akibat hakisan tanah.


Perkara itu dimaklumkan masyarakat orang asli yang tinggal di kawasan terjejas.


Sepanjang sungai itu merupakan penempatan orang asli dari suku kaum Temiar yang bergantung kepada sungai tersebut untuk keperluan seharian mereka.


Nasir Dollah yang tinggal di salah satu penempatan dekat tanah tinggi Lojing berkata dia sering memancing ikan dari sungai di kawasan terjejas seperti Sungai Belatop.


“Tetapi sekarang, kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sungai. Kini kami perlu membeli ikan,” katanya.


Walaupun penempatan itu mempunyai bekalan air paip, Nasir berkata air sungai tersebut kini tidak boleh lagi digunakan untuk membasuh dan memasak.


“Untuk mendapat air bersih, kami perlu masuk jauh ke dalam hutan,” katanya.


Ketika ditanya sama ada amaran dikeluarkan terhadap penggunaan air sungai itu akibat pencemaran, Nasir berkata dia tidak ingat apa-apa.


“Namun penduduk kampung merasakan air sungai itu sudah tidak lagi selamat untuk digunakan,” katanya.


Seorang lagi penduduk di penempatan itu, Isa Alang berkata Sungai Belatop bukan satu-satunya sungai yang tercemar.


“Terdapat beberapa sungai di kawasan itu turut tercemar berikutan aktiviti pembersihan hutan dan pembangunan di kawasan berhampiran.


“Sebelum ini kami boleh mandi di sungai. Kini ia dipenuhi pasir kuning.


“Kami membangkitkan isu ini beberapa kali dengan pelbagai pihak termasuk pejabat tanah tetapi perkara itu tidak diselesaikan,” kata Isa yang juga Ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Komuniti di penempatan Pos Brooke, Lojing.


Penempatan itu yang dihuni 58 keluarga dengan lebih 200 penduduk kini perlu bergantung sepenuhnya kepada bekalan air paip untuk keperluan seharian mereka.


Masyarakat orang asli bagaimanapun tidak begitu berminat terhadap air paip kerana mereka sudah biasa menggunakan air sungai.


“Jika kita mahukan air sungai yang bersih, kita perlu berjalan jauh ke dalam hutan sehingga tiga ke empat jam,” kata Isa.


Dia turut mengadu selain Sungai Belatop, sungai berdekatan seperti Sungai Jedip dan Sungai Dengking juga tercemar teruk akibat projek pembangunan yang sedang rancak dijalankan. – The Star/mStar Online