KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di sekolahnya, maut dalam kemalangan di Persiaran Subang Damai USJ 22, Subang Jaya di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada 12.20 tengah hari itu, motosikal ditunggang Ahmad Syahmi Rifin, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya DSP Azman Shari’at berkata mangsa dari arah Putra Heights menuju ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dipercayai gagal mengawal motosikalnya semasa melalui selekoh jalan berkenaan sebelum terbabas.
“Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian, cuaca baik dengan keadaan jalan yang kering.
Azman berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan. – BERNAMA