Monday 3 October 2016

Idris Haron Nafi Agih Tiket Percuma Untuk Kroni



MELAKA – Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA), Datuk Seri Ir Idris Haron menganggap viral pengagihan tiket percuma kepada kroni bagi perlawanan terakhir Melaka United (MU) berdepan Sime Darby pada 22 Oktober ini sebagai fitnah terbesar bola sepak Melaka.


Idris berkata, tiada pemberian istimewa kepada badan kerajaan dan swasta atau persatuan melainkan kepada penaja dengan jumlah terhad.


Katanya, dua kaunter dengan 16 laluan dibuka kepada setiap individu yang berhak mengambil dua tiket percuma pada 22 Oktober bagi membolehkan mereka menuntut tiket bermula jam 9 pagi sehingga habis 30,000 tiket diagihkan.


Menurutnya, kenyataan ini menafikan bahawa tiket ini hanya untuk kroni-kroni dan kenalan rapat sekali gus dakwaan pelbagai pihak tiket ini sudah dikeluarkan adalah tidak benar.


“Untuk makluman tiket ini masih belum dicetak dan masih dalam proses reka bentuk untuk dizahirkan lebih istimewa dan bersejarah.


“Kita hanya memutuskan tiket hanya dikeluarkan pada hari perlawanan terbabit, Jika ada mana-mana pihak menyatakan mereka memiliki tiket ia adalah fitnah besar, palsu dan tidak benar semata-mata.


“Kami masih mencipta tiket dengan mempunyai ciri keselamatan bagi mengelak mana-mana pihak meniru edisi khas tiket sebagai hadiah kepada penyokong setia pasukan.
Jumlah tiket sebesar itu akan menyaksikan kepadatan Stadium Hang Jebat pada hari perlawanan terbabit,” katanya.


Menurutnya, MUSA juga sudah bersedia dengan pasukan keselamatan di dalam dan luar stadium bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


Idris berkata, malam gilang gemilang penyampaian piala berkenaan bakal membabitkan persembahan bunga api, artis dan aktiviti sampingan seawal 10 pagi bagi memeriahkan sambutan kejuaraan selepas 33 tahun terbabit. – BHarian Online