Sunday, 31 July 2016

PASANGAN MANGSA BANJIR TIDAK DILAYAN MOHON BANTUAN MAKANAN

Tags


Pasangan suami isteri mangsa banjir Abdul Rashid Hussien, 28, dan Nurul Najwa Hassan Shah, 28, membersihkan peralatan rumah mereka yang dipenuhi lumpur walaupun air masih lagi tidak surut sepenuhnya di Kg.Raja Mentakab, Temerloh, Pahang pada 3 Januari 2015..

Melihatkan begitu banyak barangan sumbangan orang ramai untuk membantu mangsa banjir, hati Nordiana Mohamed Husin serta merta dibelenggu rasa kecewa dan sedih...
Hendak diluahkan tidak tahu kepada siapa lalu dia mengambil keputusan mendiamkan diri.

Hatinya menangis kerana setiap kali membuka mulut meminta sedikit sebagai pengalas perut, dia dan suaminya, Abdullah Hassan tidak akan dilayan sebagaimana mangsa banjir lain.
Lebih menyedihkan lagi, Nordiana disifatkan sebagai mangsa banjir dari kawasan lain dan bukan kariah Kampung Keladan, Mentakab, Pahang yang hilang kelayakannya untuk menerima bantuan makanan sebagaimana mangsa banjir lain...

“Memang kami bukan dari kampung tersebut tetapi dari kampung Raja. Namun kami sekeluarga juga mangsa banjir dan saya mendaftar nama di pusat penempatan Kampung Keladan kerana itu yang paling hampir...

“Apakah kami bukan mangsa banjir walaupun dari kampung berlainan? Saya dan suami serta dua anak kami tidak akan meminta sesuap nasi jika perut tidak terasa lapar. Biarpun kami sekeluarga orang miskin, tapi kami bukanlah pengemis untuk mendapatkan ihsan orang lain.


Abdullah Hassan
“Dua hari kami tinggal di pusat penempatan tersebut kerana tiada pilihan. Disebabkan tekanan dan layanan yang diterima begitu menyedihkan, kami akhirnya keluar dan tinggal menumpang di rumah saudara mara yang tidak ditimpa musibah banjir,” katanya kepada wartawn MalaysiaGazette sambil mengesat air mata yang cuba ditahan daripada tumpah.

Nordiana Mohamed Husin
Semalam, dia sekeluarga pulang ke rumahnya yang masih dikelilingi air hingga paras lutut orang dewasa. Tanpa menghiraukan bahaya, rumah yang disewa daripada Masjid Kampung Raja itu terus dibersihkan setakat yang boleh. 
“Saya dan suami dah tak kisah sama ada akan terima bantuan atau tidak daripada mana-mana pihak. Kalau nak bagi kami terimalah, tetapi kalau tidak, kami tidak akan meminta-minta.
“Bukan sebab kami tidak menghargai pemberian orang tetapi kami kecewa dengan sikap pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap mangsa banjir.


Seorang mangsa banjir kelihatan sedang mencuci dinding luaran rumahnya yang dipenuhi lumpur walaupun air masih lagi tidak surut sepenuhnya di Kg.Raja Mentakab, Temerloh, Pahang pada 3 Januari 2015

“Mungkin hanya saya dan keluarga sahaja yang melalui masalah seperti ini tetapi secara jujurnya, saya tidak mahu mengharapkan apa-apa lagi selepas kami melalui saat-saat hina di pusat penempatan banjir. Cukuplah dengan apa yang telah kami lalui,” ujarnya.